By hmetro |

Pavithra tenang | Harian Metro

 PAVITHRA hadir pada prosiding pendakwaan kes suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam


YOUTUBER terkenal, S Pavithra, 28, yang hadir mengikuti prosiding pendakwaan terhadap suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, kelihatan tenang.

Dia hadir ketika prosiding bermula dan duduk di galeri awam sehingga tamat.

Dia juga dilihat sempat berbual dengan suaminya, M Sugu, 29, sebelum prosiding bermula.

Pavithra bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan sebaliknya dilihat berbual dengan peguam Mahinderjit Singh di luar mahkamah.

Sugu didakwa atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya.

Dia mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis Tiger.

Kejadian berlaku di parkir wad unit penjagaan paliatif (PCU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 6 petang, 21 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail dan tertuduh diwakili Mahinderjit.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semasa prosiding berkenaan, Mohd Waffy memohon mahkamah tidak memberi jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahan berkenaan tidak ditawarkan jaminan, namun ia bergantung kepada budi bicara hakim.

Katanya, tertuduh adalah Youtuber terkenal dan menjadi ikon namun jika diletakkan amaun yang rendah ia akan menimbulkan salah faham kepada masyarakat mengenai keseriusan kes.

Mahinderjit bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan berikutan tertuduh ketika ini menanggung dua anak dan akan mematuhi segala syarat tambahan dikenakan.

Menurutnya, senjata berkenaan ditemui disimpan dalam kenderaan bukan pada badan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan.

Berita berkaitan

• Suami S Pavithra didakwa memiliki senjata berbahaya

• Anugerah Ikon Anak Bandar Raya Ipoh untuk anak kelahiran Ipoh saja

• [UPDATE] Suami Youtuber terkenal direman 3 hari [METROTV]

• [UPDATE] Suami Youtuber terkenal bakal direman