By hmetro |

Padah ingkar Akta Perikanan, gaji PATI | Harian Metro

Bot nelayan yang ditahan APMM di perairan berdekatan Pulau Selat Kering, Klang semalam. Foto Ihsan APMM


PADAH menggaji dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor pagi semalam.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot nelayan tempatan Kelas B itu ditahan bersama lima kru termasuk tekong.

"Bot nelayan itu ditahan ketika mereka sedang leka menunda ikan pada jarak kira-kira 3.2 batu nautika di barat Pulau Selat Kering, Klang.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan terdapat tiga warga tempatan dan dua warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot terbabit.

"Tekong, kru dan bot kemudiannya ditahan bersama ikan campur yang dianggarkan kira-kira sebanyak 200 kilogram dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata, semua yang ditahan itu adalah lelaki berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.

"Mereka disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menunda kurang dari lapan batu nautika dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa izin," katanya

Menurutnya, APMM mengalu-alukan kerjasama komuniti maritim menjadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI.

"Orang awam dan komuniti maritim perlu bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan boleh menyalurkan maklumat melalui talian 03-31760627," katanya.