By hmetro |

Nilai penalti Antonio RM1.36 juta | Harian Metro

AKSI Antonio menjaringkan penalti di Old Trafford. FOTO Agensi

MICHAIL Antonio mendapat imbuhan bonus £250,000 (RM1.36 juta) selepas menjaringkan penalti ketika West Ham menentang Manchester United.

Bonus lumayan menjadi milik penyerang Hammers itu selepas kali pertama berjaya menjaringkan gol ke-10 dalam aksi Liga Perdana ketika seri 1-1 di Old Trafford pada Rabu lalu. Dia memanfaatkan peluang selepas Mark Noble memberi laluan kepadanya untuk mengambil sepakan penalti.

Antonio, 30, yang kali terakhir memperbaharui kontrak pada 2017 mendapat bonus itu selepas mencatat jumlah jaringan dua digit yang sebelum ini tak pernah dilakukannya dalam saingan liga utama.

Dia yang dibeli dari Nottingham Forest lima tahun lalu dengan harga £7 juta (RM38.03 juta), kini hanya tinggal baki setahun kontrak tetapi West Ham sedia menawarkannya kontrak baharu selama empat tahun.

Tetapi jumlah bonus itu yang menjadi tumpuan kerana ia terlalu lumayan walaupun buat kelab Liga Perdana. Antonio yang ditemui media berkata: "Saya dan Nobes berbincang dan dia bertanya apakah sasaran saya untuk musim ini. Saya kata 10 gol dan ia sasaran sejak lima tahun saya di sini.

"Saya tak pernah berjaya mencapainya - paling banyak sembilan gol, jadi dia kata jika kami mendapat penalti dalam dua perlawanan terakhir dia akan berikannya kepada saya kerana saya sudah menjaringkan banyak gol penting.

"Saya tidak percaya yang kami mendapat penalti, dan apabila mendapatnya, saya masih tidak percaya dia memberikannya kepada saya.

"Nobes akan kembali mengambil sepakan selepas ini, ini hanyalah semata-mata untuk saya mencapai angka ke-10," kata Antonio.

West Ham akan menentang Aston Villa dalam aksi terakhir Ahad ini.