By hmetro |

Demi Lovato dilamar Max Ehrich | Harian Metro

DEMI Lovato menerusi Instagram berkongsi berita gembira dilamar Max Ehrich. FOTO IG Demi Lovato


PENYANYI Demi Lovato menerusi Instagram berkongsi berita gembira dia sudah dilamar kekasihnya yang juga pelakon, Max Ehrich.

Dalam muat naik itu, penyanyi lagu Stone Cold itu turut berkongsi perasaan cintanya terhadap pelakon The Young and The Restless itu.

"Saya tahu saya jatuh cinta dengan awak ketika kali pertama bertemu awak. Ia adalah sesuatu yang tak dapat dijelaskan kepada orang yang tak mengalaminya. Saya tak pernah rasa dicintai tanpa syarat oleh sesiapa (selain keluarga)," tulisnya.

Demi juga berkata, Max sentiasa menerima dirinya seadanya.

"Awak tak pernah menekan saya untuk menjadi orang lain dan awak buatkan saya ingin menjadi versi terbaik diri saya. Saya berbesar hati menerima lamaran awak.

"Saya cintakan awak lebih daripada apa yang dapat saya luahkan dan ingin mulakan sebuah keluarga dan kehidupan bersama awak.

"Saya cintakan awak selama-lamanya. Pasanganku, untuk masa depan kita!" tulisnya disertakan dengan beberapa emoji.

Turut mencuri perhatian adalah foto cincin lamarannya yang bertatah batu berlian bersaiz besar.

Berita gembira itu disambut baik pengikut-pengikutnya di Instagram termasuklah deretan selebriti terkenal antaranya Avril Lavigne, Khloe Kardashian, Luis Fonsi, Ashley Graham, Ruby Rose dan ramai lagi.

Max juga turut memuat naik foto dan berkongsi berita gembira itu di Instagramnya.

Berita percintaan Demi dan Max sebelum ini mula menjadi bualan ramai sejak beberapa bulan lalu.