By hmetro |

Ajal lori bertembung | Harian Metro

BOMBA membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba


DUA lelaki maut selepas lori dipandu bertembung di Kilometer 3, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli dekat, Hentian Perah di Gerik, malam tadi.

Pada kejadian 9.30 malam itu, pemandu lori muatan ikan, Saidon Abdullah, 45, dari Kampung Besah Tawar, Kuala Ketil, Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori tanpa muatan, Muhammad Khairul Izham Mohd Gebing, 27, dari Batu Hampar, Beruas, Perak, pula meninggal semasa dikejarkan ke Hospital Gerik.

Turut cedera, anak Saidon, Siti Addina Sofea Saidon, 13, dan kelindan lori tanpa muatan, Mohd Hilmi Mohd Yusoff, 21.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, ketika kejadian, lori muatan ikan sedang dalam perjalanan ke arah Jeli.

Katanya, lori tanpa muatan pula sedang menghala ke Gerik.

"Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu laluan berselekoh, pemandu lori tanpa muatan gagal mengawal kenderaan dan hilang kawalan.

"Ia kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori muatan ikan," katanya.

Zulkifli berkata, mayat mangsa dihantar di Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat hari ini.