By hmetro |

Natijah hilang rasa malu | Harian Metro

SETIAP manusia yang terlanjur melakukan dosa dan maksiat diperintahkan agar bertaubat.

PERUBAHAN budaya dan cabaran kehidupan alaf baharu menyaksikan umat Islam terdedah kepada perbuatan maksiat dan menyalahi syariat melalui cara dan medium yang berbeza.

Tanpa menafikan manfaat yang diperoleh hasil perkembangan teknologi dan aplikasi terkini khususnya media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Bigo Live dan lain-lain, platform ini juga turut mengundang mudarat apabila segelintir masyarakat menggunakannya bagi tujuan melakukan perbuatan dosa dan maksiat sehingga berbangga serta mempromosikannya kepada umum.

Islam amat menegah perbuatan mempamerkan perbuatan maksiat. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-Mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: 'Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini'. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.'" (Riwayat Al-Bukhari. No 6069)

Perkara utama yang mencegah manusia daripada melakukan dosa dan maksiat adalah perasaan takut kepada Allah SWT dan balasan-Nya serta perasaan ingin menjauhkan diri dari hukuman serta kemurkaan Allah. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nur ayat 63 yang bermaksud: "Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintah-Nya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

Perbuatan maksiat akan memberikan kesan yang buruk dalam kehidupan seperti dijauhkan dari ilmu dan rezeki, berasa kesunyian dan jauh dari Allah, mengalami kesukaran hidup, menggelapkan hati dan jauh dari ketaatatan, mencetuskan perbuatan maksiat yang lain serta sukar menjauhi lingkungannya, merosakkan akal, menganggap perbuatan maksiat sebagai perkara biasa serta dosa akan berbekas di dalam hati sehingga menjadi orang yang lalai sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mutaffifin ayat 14 yang bermaksud: "Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa) dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan."

Walaupun seseorang berterusan melakukan maksiat serta masih menerima pelbagai rezeki dan nikmat dari Allah SWT namun ia adalah sebuah istidraj iaitu 'hukuman' yang diberikan sedikit demi sedikit secara tidak langsung akan menyebabkan semakin jauh dan tenggelam dalam kemaksiatan yang dilakukannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada 'Uqbah bin 'Amir RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT."

Perbuatan maksiat yang berterusan akan menghilangkan perasaan malu sedangkan malu itu mencegah seseorang daripada melakukan amalan yang buruk. Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim juga menyatakan sifat malu itu akibatnya adalah baik, dan katanya lagi Rasulullah SAW bersabda: "Malu itu keseluruhannya adalah baik." Manakala dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika engkau tidak malu maka lakukan apa saja sesuai kehendakmu." (Hadis Riwayat Bukhari)

Perbuatan dosa dan maksiat berpunca daripada nafsu yang tidak terdidik dengan sempurna. Nafsu jika tidak ditundukkan, akan mendorong manusia melakukan maksiat sehingga perbuatan tersebut menjadi sebati dalam diri. Justeru Ibnu Qayyim al-Jauzi menekankan makna jihad adalah termasuk memerangi hawa nafsu. Seseorang tidak mungkin dapat berjihad melawan musuh jika tidak terlebih dulu berjihad menundukkan hawa nafsu yang menguasai dirinya dalam mentaati Allah SWT.

Jihad melawan nafsu sampai ke tahap sejahtera apabila mencapai peringkat mutmainnah. Bagi tujuan ini, perkara pertama yang harus dilakukan adalah melalui proses penyucian jiwa atau tazkiyatun nafs sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: "Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As-Syams: 7-10)

Mengawal nafsu adalah kunci kepada kehidupan yang selaras dengan tuntutan syariat. Kebahagiaan itu ialah pada kemenangan memerangi hawa nafsu dan menahan kehendaknya yang berlebihan. Justeru, jihad melawan nafsu disifatkan sebagai sebuah peperangan yang besar. Nafsu sekiranya tidak dapat dikawal akan mendorong kepada perbuatan mungkar dan maksiat. Sebaliknya jika diuruskan dengan baik mendorong kepada kebaikan dan amal soleh. Islam menganjurkan agar menundukkan nafsu melalui sifat sabar, mengerjakan solat dan berdoa serta memperbanyakkan zikir sebagai senjata yang paling ampuh.

Setiap manusia yang terlanjur melakukan dosa dan maksiat juga diperintahkan agar bertaubat dengan menyesali perbuatan yang lalu serta menggantikan perlakuan dosa dengan perbuatan yang diperintahkan Allah SWT dan meningkatkan amal ibadah serta mengamalkan sifat-sifat mahmudah dalam kehidupan.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan