By hmetro |

42 kontak rapat kru kapal di Kuantan disaring | Harian Metro

DR Noor Hisham ketika sidang media perkembangan semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir


SERAMAI 42 kontak rapat kepada kes indeks membabitkan seorang kru sebuah kapal di Kuantan, Pahang, menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 30 kru kapal berkenaan, dua ejen kapal, dua kakitangan konsortium pelabuhan Kuantan, tiga wakil syarikat dan lima kakitangan sebuah hotel di Kuantan.

"Hasil saringan dilakukan, 34 individu didapati negatif, manakala lapan lagi individu masih menunggu keputusan.

"Keseluruhannya, hanya satu kes membabitkan kes indeks iaitu kes ke-8,839 yang juga warga Filipina didapati positif," katanya.

Sementara itu, sehingga hari ini, seramai 66,568 warga asing yang disaring dengan 2,632 daripada mereka didapati positif.

"Daripada 66,568 individu itu, 63,820 warga asing didapati negatif, manakala 116 lagi masih menunggu keputusan.

"Daripada 2,632 individu positif pula, 49 warga asing masih menerima rawatan dan seorang pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Selain itu, 2,578 individu berjaya sembuh dan terdapat lima kematian direkodkan membabitkan warga asing," katanya.