By hmetro |

3 beradik ditahan positif morfin | Harian Metro

TIGA beradik antara 38 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Flat Paya Nahu 2, Sungai Petani, semalam.

Mereka terdiri seorang lelaki berusia 22 tahun dan dua perempuan masing-masing berusia 24 dan 26 tahun ditahan dalam operasi bermula 6 pagi sehingga 11.30 malam di sekitar daerah Kuala Muda.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, ketika serbuan, terdapat tiga kanak-kanak berusia 12 bulan, enam dan lapan tahun dipercayai anak kepada dua wanita terbabit di rumah itu.

"Hasil ujian saringan awal air kencing menunjukkan ketiga-tiga mereka didapati positif dadah jenis morfin.

"Kanak-kanak yang turut berada di rumah berkenaan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arnida berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut membuat serbuan di Rumah Panjang serta Kampung Kepala di Tanjung Dawai dan menahan 16 individu disyaki terbabit dalam penagihan dadah.

Katanya, kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan dan ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 3 (1) dan Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.