By hmetro |

Sindiket seludup rokok tumpas | Harian Metro

SUSPEK ditahan di sebuah premis di Jalan Parit Yaani, Yong Peng. FOTO IHSAN PDRM


Batu Pahat: Seorang lelaki disyaki ahli sindiket penyeludupan rokok dan membekalkannya ke kedai runcit di sekitar daerah ini ditahan di sebuah premis di Jalan Parit Yaani, Yong Peng, di sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Unit Risik Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Tampoi melakukan serbuan di sebuah premis kira-kira 4.30 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan di sebuah premis menemui sejumlah kotak berwarna coklat berisi sebanyak 19,350 karton rokok seludup pelbagai jenama.

"Hasil siasatan lanjut ke atas suspek tinggal hanya bersebelahan dengan premis yang diserbu oleh pihak polis.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM301,892.00 termasuk cukai Kastam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar rokok seludup ke kedai runcit yang tidak berlesen di sekitar kawasan Parit Yaani dan Yong Peng.

"Suspek ditahan dan semua barang salah itu dirampas serta disiasat di bawah Seksyen 135 (1)Akta Kastam 1967," katanya