By hmetro |

Kaji mekanisme cinta negara, hormat institusi diraja | Harian Metro

ISMAIL. FOTO Mustaffa Kamal


KERAJAAN perlu mengkaji satu mekanisme untuk menyemai rasa cinta pada negara serta menghormati institusi diraja di negara ini.

Ia termasuk mewajibkan kokurikulum berkaitan di semua peringkat sekolah bagi memastikan semua pihak disuburkan dengan rasa cinta pada negara.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Datuk Ismail Awang berkata, sudah sampai masanya isu berkaitan kenegaraan dijadikan asas di dalam sistem negara ini dan bukannya diambil mudah seperti sebelum ini.

Katanya, jika jati diri dibentuk di dalam diri setiap rakyat Malaysia, isu perkauman, sensitiviti agama serta penghinaan kepada institusi diraja tidak akan berlaku.

"Kita lihat ia semakin longgar. Keutuhan sesama kaum semakin longgar dengan masing-masing mementingkan diri sendiri.

"Perlembagaan dipermainkan malah wujud situasi membenci antara kaum yang tidak sepatutnya berlaku di negara ini," katanya kepada Harian Metro.

Ismail berkata, Permas membuat satu laporan polis berhubung mural Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah dan pemimpin negara diconteng di Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi membincangkan isu berkenaan dalam waktu terdekat.

"Kita harap beberapa perkara dapat ditambah baik selepas ini kerana kita semua sayangkan negara. Anak cucu kita akan mewarisi negara bertuah ini, jadi rukun negara perlu dihayati sebaik mungkin," katanya.