By hmetro |

Transit tengah laut taktik terbaru penyeludupan migran | Harian Metro

AYOB Khan menunjukkan gambar operasi ketika sidang media kejayaan IPK Johor dalam Ops Benteng menumpaskan sindiket penyeludupan migran. FOTO Mohd Yusni Ariffin


TRANSIT di kawasan perairan antarabangsa menjadi taktik terbaru sindiket penyeludupan migran ke Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak sindiket dipercayai menggunakan kapal besar untuk membuat pertukaran, namun perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

Katanya, terbaru beberapa sindiket penyeludupan migran ditumpaskan dengan penahanan 93 individu termasuk 11 tekong, 79 migran dan dua transporter dalam lima operasi dijalankan pada 19 hingga 22 Julai lalu.

"Mereka yang ditahan termasuk bayi perempuan yang berusia setahun.

"Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam, Kota Tinggi, Iskandar Puteri dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

"Pada 19 Julai, PPM wilayah dua menahan 15 migran Indonesia bersama empat tekong Indonesia di kawasan perairan Sungai Rengit, Pengerang. Susulan itu, dua tekong dan seorang migran warga sama ditahan," katanya dalam sidang media di IPK Johor, hari ini.

Ayob berkata, pada 20 Julai pula. polis menahan 34 migran Indonesia hasil serbuan berasingan di Seri Alam dan Kota Tinggi.

Katanya, lapan migran ditahan di sebuah homestay di Seri Alam yang digunakan sebagai rumah sementara sebagai modus operandi mereka.

"Manakala serbuan di tepi jalan Batu 12, Kampung Mawai, Kota Tinggi pula menahan 26 migran, susulan penangkapan itu, keesokannya polis menahan seorang lelaki juga warga Indonesia yang bertindak sebagai transporter kepada semua migran yang ditahan.

"Pada 21 Julai, semasa Ops Benteng di Lebuhraya Pelabuhan Tanjung Pelepas, sebuah bas yang membawa 21 migran warga Bangladesh ditahan termasuk seorang transporter warga tempatan," katanya.

Ayob berkata, pada 22 Julai, IPD Iskandar Puteri membuat serbuan di Kampung Tanjung Adang dan menahan lapan migran Indonesia.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua migran dipercayai ingin pulang ke Indonesia melalui jalan tidak sah dengan kadar bayaran RM1,300 seorang.

"Hasil soal siasatan, seorang lelaki tempatan ditahan di Taman Desa Paya Mengkuang Gelang Patah dipercayai sebagai tekong kepada lapan yang ditahan.

"Turut dirampas dalam lima operasi ialah tiga bot pancung, lima enjin bot 40 kuasa kuda, 28 unit telefon bimbit, sebuah kereta dan sebuah bas serta wang tunai mata wang asing bernilai RM8,048," katanya.